1 Jelas dan
bezakan konsep-konsep berikut:
(a)
Keluaran Dalam Negara Kasar dengan Keluaran Negara Kasar.
(b) Keluaran Negara Kasar dengan Keluaran
Negara Bersih.
1 (a) Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
ialah nilai barang akhir yang dicipta oleh faktor-faktor pengeluaran yang
berada di negara tersebut dalam masa satu tahun tanpa mengira sama ada faktor-faktor pengeluaran
itu dimiliki oleh rakyat negara itu ataupun rakyat negara asing. Ini bermakna
bahawa KDNK menjumlahkan nilai sumbangan keluaran faktor tempatan dan faktor
asing di negara tersebut. .
Keluaran Negara Kasar (KNK) pula ialah
nilai barang akhir yang dicipta oleh faktor-faktor pengeluaran yang dimiliki
oleh rakyat negara tersebut dalam masa satu tahun tanpa mengira sama ada
faktor-faktor pengeluaran itu berada di negara itu ataupun di negara asing. Ini
bermakna bahawa KNK menjumlahkan nilai sumbangan keluaran faktor tempatan di
negara tersebut dan di negara asing.
(b) Keluaran Negara Kasar (KNK) termasuk
pelaburan kasar, iaitu perbelanjaan ke atas barang modal untuk menambahkan
jumlah barang modal yang sedia ada dan juga untuk menggantikan barang modal
yang mengalami penyusutan nilai melalui masa.
Keluaran Negara Bersih (KNB) pula termasuk
pelaburan bersih, iaitu perbelanjaan ke atas barang modal untuk menambahkan
jumlah barang modal yang sedia ada sahaja dan tidak termasuk perbelanjaan untuk
menggantikan barang modal yang mengalami penyusutan nilai melalui masa.
Perbezaan antara KNK dengan KNB ialah susut
nilai. Apablia KNK ditolak dengan susut nilai, KNB diperolehi ataupun apablia
KNB dicampur dengan susut nilai, KNK diperolehi.
2 (a) Apakah yang dimaksudkan dengan Keluaran Negara
Kasar (KNK)?
(b) Jelaskan perbezaan antara Keluaran
Negara Kasar pada kos faktor dengan
Keluaran Negara Bersih pada harga pasaran.
2 (a) Keluaran Negara Kasar (KNK) ialah
nilai barang akhir yang dicipta oleh faktor-faktor pengeluaran yang dimiliki
oleh rakyat negara tersebut dalam masa satu tahun tanpa mengira sama ada
faktor-faktor pengeluaran itu berada di negara itu ataupun di negara asing. Ini
bermakna bahawa KNK hanya mengambil kira nilai sumbangan keluaran faktor
tempatan di negara tersebut dan di negara asing.
(b) Keluaran negara boleh dikira pada harga
pasaran atau pada kos faktor. Keluaran negara pada harga pasaran adalah
penilaian ke atas keluaran negara berdasarkan harga yang dijual dalam pasaran,
di mana harganya telah dicampurkan cukai tak langsung dan ditolakkan subsidi
kerajaan. Keluaran negara pada kos faktor pula adalah penilaian ke atas
keluaran negara yang berdasarkan harga yang dibayar oleh pengeluar kepada
pemilik faktor pengeluaran, di mana harganya belum dicampur cukai tak langsung
dan belum tolak subsidi kerajaan. Jadi, perbezaan di antara nilai keluaran
negara pada harga pasaran dengan nilai keluaran negara pada kos faktor ialah
cukai tak langsung dan subsidi.
Untuk
memperolehi nilai keluaran negara pada harga pasaran, cukai tak langsung
dicampurkan dan subsidi ditolak daripada nilai keluaran negara pada kos faktor.
Sebalikya, untuk memperolehi nilai keluaran negara pada kos faktor, cukai tak
langsung ditolak dan subsidi dicampurkan kepada nilai keluaran negara pada
harga pasaran.
Secara rumus adalah berikut:
KNK harga pasaran =
KNK kos faktor + Cukai tak langsung -
Subsidi
atau
KNK kos faktor = KNK harga pashran -
Cukai tak langsung + Subsidi
Perbezaan antara Keluaran Negara Kasar
(KNK) dengan Keluaran Negara Bersih (KNB) ialah susut nilai. Secara rumusan,
perbezaan di antara konsep KNK dengan KNB adalah seperti berikut:
KNK = KNB + Susut nilai
KNB = KNK - Susut nilai
No comments:
Post a Comment