Saturday, January 5, 2013

PETUNJUK MAKROEKONOMI

1.3 Petunjuk makroekonomi



  Pemboleh ubah yang penting dalam kajian makroekonomi terdiri daripada pendapatan negara atau keluaran negara, guna tenaga dan pengangguran, inflasi, imbangan pembayaran, dan pertumbuhan ekonomi. 
Manakala petunjuk yang akan memberi gambaran tentang prestasi makroekonomi sesebuah negara adalah dari segi kadar dan kuantitatifnya seperti kadar inflasi, kadar pengangguran, kadar bunga, kadar pertumbuhan ekonomi, akaun dagangan, dan akaun semasa keluaran negara kasar (KNK), kitaran perniagaan.

Kitaran Perniagaan

 Rajah 11.1 di atas adalah kitaran perniagaan yang  menunjukkan keadaan KNK potensi dan KNK benar. Keluk KNK potensi adalah keluk yang bergaris lurus dan menaik. Ini bermakna KNK potensi akan bertambah dari masa ke semasa akibat pertambahan dalam faktor-faktor pengeluaran dan kemajuan teknologi. Titik A menunjukkan bahawa KNK benar yang dicapai adalah sama dengan KNK potensi. Pada titik ini, tingkat ekonomi telah mencapai tingkat pendapatan guna tenaga penuh. Di antara titik A dan B, kegiatan ekonomi berada dalam masa melambung dan KNK benar yang dicapai adalah lebih tinggi daripada KNK potensi. Pada titik ini, ekonomi berada dalam keadaan kekurangan faktor-­faktor pengeluaran dan persaingan untuk memperoleh faktor-faktor pengeluaran akan menyebabkan kenaikan tingkat kos pengeluaran dan seterusnya kenaikan tingkat harga barang-barang. Di antara titik B dan C, kegiatan ekonomi mula menurun tetapi KNK benar masih melebihi KNK potensi.

Di antara titik C dan E, tingkat kegiatan ekonomi berada dalam kemelesetan. Ini bermakna bahawa KNK benar yang dicapai adalah kurang daripada KNK potensi. Tingkat ekonomi di antara titik C dan D menunjukkan bahawa pengangguran semakin bertambah dan faktor-faktor pengeluaran lain tidak digunakan dengan sepenuhnya. Selepas titik D, kegiatan ekonomi mula mengalami pemulihan, iaitu tingkat kegiatan ekonomi semakin bertambah sehingga KNK benar adalah sama dengan KNK potensi pada titik E. Jadi, pada titik E, tingkat ekonomi telah mencapai tingkat pendapatan guna tenaga penuh. Perbezaan antara KNK potensi dengan KNK benar di kenali sebagai jurang KNK.
Daripada penjelasan di atas boleh dikatakan bahawa tingkat kegiatan ekonomi negara berada dalam salah satu daripada ketiga-tiga keadaan berikut:
(a) Tingkat kegiatan ekonomi negara mencapai tingkat guna tenaga penuh.
Kegiatan ekonomi negara akan mencapai tingkat pendapatan guna tenaga penuh apabila permintaan agregat adalah sama dengan penawaran agregat yang dikeluarkan oleh faktor-faktor pengeluaran yang ada dalam ekonomi. Dalam suatu ekonomi yang mencapai tingkat pendapatan guna tenaga penuh, lompang inflasi atau lompang deflasi tidak wujud.

(b) Tingkat kegiatan ekonomi negara.adalah kurang daripada tingkat guna
      tenaga penuh dan masalah pengangguran berlaku.
(c) Tingkat kegiatan ekonomi negara adalah lebih daripada tingkat guna tenaga
      penuh dan masalah inflasi berlaku.
Masalah ekonomi wujud bila keadaan b dan c wujud

Pendapatan Negara/ Keluaran Negara

·   Pendapatan negara atau keluaran negara ialah jumlah nilai barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh faktor pengeluaran sesebuah negara dalam jangka masa setahun.
·   Konsep pendapatan negara yang sering digunakan ialah Keluaran Negara Kasar, (KNK).
·   Kenaikan pendapatan negara atau keluaran negara pada sesuatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya menunjukkan:
  (a) tingkat kegiatan ekonomi telah meningkat.
(b) lebih banyak peluang pekerjaan telah diwujudkan dan kadar pengangguran
jatuh.
(c) jumlah barang dan perkhidmatan yang dihasilkan telah meningkat. 

 

 Guna tenaga dan pengangguran

·   Guna tenaga ialah tenaga buruh yang digunakan dalam kegiatan pengeluaran atau tenaga buruh yang mendapat pekerjaan.
·   Rumus menghitung jumlah guna tenaga adalah seperti berikut:
Jumlah guna tenaga = Jumlah tenaga buruh - Jumlah penganggur
·   Tenaga buruh dikenali sebagai jumlah penduduk yang berumur antara 15 hingga 64 tahun dan sanggup bekerja. Jumlah ini tidak termasuk pesara, suri rumah, dan pelajar di universiti yang berada dalam lingkungan umur tersebut.
·    Pengangguran berlaku apabila terdapat tenaga buruh yang sanggup bekerja pada suatu tingkat upah tertentu tetapi tidak mendapat pekerjaan.
·   Kadar pengangguran dihitung berdasarkan formula berikut:

                    Kadar pengangguran =
Jumlah penganggur__ x 100
Jumlah tenaga buruh

Inflasi

·   Inflasi bererti terdapat kenaikan tingkat harga umum secara berterusan.
·   Inflasi berpunca daripada kenaikan kos pengeluaran, kenaikan permintaan agregat berterusan semasa ekonomi mencapai guna tenaga penuh, dan kenaikan harga barang import.
·   Inflasi boleh diukur oleh Indeks Harga Pengguna (IH). Contoh: Jika IH tahun 2001=106, ini bererti tingkat harga umum telah meningkat sebanyak 6% berbanding dengan tingkat harga umum pada tahun asas.

Imbangan pembayaran

·   lmbangan pembayaran ialah satu penyata yang mencatat segala urus niaga dan aliran modal antara satu negara dengan negara lain dalam jangka masa setahun.

·   Keadaan imbangan pembayaran sesebuah negara dapat mempengaruhi jumlah rizab pertukaran asing yang dimiliki oleh negara berkenaan.
 ·   Apabila imbangan pembayaran dalam keadaan lebihan, bererti aliran wang masuk melebihi aliran wang keluar. Maka, ini meningkatkan rizab pertukaran asing negara tersebut.
·   Sekiranya imbangan pembayaran adalah defisit, aliran wang keluar melebihi aliran wang masuk. Maka, ini mengurangkan rizab pertukaran asing negara berkenaan.
Kekurangan atau defisit imbangan pembayaran merupakan satu masalah ekonomi. Oleh itu kerajaan perlu campur tangan dengan menjalankan dasar kewangan dan belanjawan serta dasar kawalan langsung untuk mengatasinya.
-Akaun semasa mencatatkan semua urus niaga yang berkaitan dengan eksport dan import barang-barang dan perkhidmatan serta penerimaan dan pembayaran pindahan sektor swasta dan sektor awam.


(a) akaun dagangan merekodkan butiran perdagangan barang nampak sahaja. Butiran akhir yang diperoleh ialah imbangan dagangan.
(b) akaun perkhidmatan merekodkan butiran perdagangan barang tak nampak. Butiran akhir yang diperoleh ialah imbangan perkhidmatan.


   

Pertumbuhan ekonomi

·    Pertumbuhan ekonomi ialah kadar peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mengikut harga tetap pada sesuatu tahun berbanding dengan tahun sebelumnya.
la dapat dihitung berdasarkan formula berikut:

Kadar pertumbuhan ekonomi= KDNK benar t – KDNK benar t-1  x 100
                                                              KDNK benar t-1
 Matlamat dan Bentuk Dasar Ekonomi
Matlamat ekonomi yang hendak dicapai oleh setiap negara di dunia adalah seperti berikut:
(a) peningkatan pertumbuhan ekonomi               (b) kestabilan tingkat harga umum
(c) mencapai tingkat guna tenaga penuh            (d) imbangan pembayaran yang stabil

·    Matlamat ekonomi di atas dapat dicapai melalui dasar-dasar berikut yang dijalankan oleh kerajaan:   (a) dasar fiskal       (b) dasar kewangan       (c) dasar kawalan langsung
·    Dasar fiskal ialah dasar mengubah pencukaian dan perbelanjaan kerajaan untuk mengatasi masalah inflasi dan deflasi.
·    Dasar kewangan ialah dasar untuk mengubah kadar bunga dan bekalan wang dalam ekonomi.
·    Dasar kawalan langsung ialah kawalan kerajaan secara langsung terhadap pelaburan, eksport dan import melalui tarif, import, kawalan pertukaran mata wang asing, taraf perintis, dan sebagainya.

Soalan Pemahaman

 1. Terangkan konsep-konsep berikut:

(a) Inflasi
(b) Guna tenaga
(c) Imbangan pembayaran                          
2. Apakah masalah-masalah ekonomi yang sering dihadapi oleh sesebuah negara?
3. Bagaimanakah jumlah tenaga buruh dalam ekonomi ditentukan?          
4. Terangkan ciri-ciri bagi sebuah ekonomi dalam keadaan meleset.                      
5. Mengapakah kebiasaannya KNK benar kebiasaannya lebih rendah daripada KNK potensi?

6. Keluaran Negara sebenar boleh melebihi Keluaran Negara potensi. Apakah pandangan anda?

7. Mengapakah pengiraan pertumbuhan ekonomi menggunakan pendapatan perkapita benar lebih tepat dalam mengukur kadar pertumbuhan ekonomi?

8. Bezakan antara dasar fiskal dengan dasar kewangan kerajaan dalam mengatasi masalah inflasi.

9. Bezakan antara pertumbuhan ekonomi dengan pembangunan ekonomi.
 

4 comments:

  1. Assalamualaikum? Apa petunjuk eko. mula merosot..

    ReplyDelete
  2. Petunjuk yang menunjukkan ekonomi kita mula merosot ialah apabila kadar pertumbuhan ekonomi menurun. Ini menunjukkan keluaran negara tidak berkembang atau merosot. Seterusnya ia menjejaskan pendapatan negara begitu juga syarikat dan seterusnya guna tenaga terpaksa dikurangkan. Pengangguran bertambah buruk. Akhirnya taraf hidup rakyat akan terjejas. Masalah akan lebih serius apabila tingkat inflasi juga meningkat. Stagflasi ini lebih sukar untuk ditangani. Defisit akaun semasa yang berlaku akan menyebabkan kejatuhan nilai ringgit. Kejatuhan nilai ringgit boleh membaiki defisit jika eksport negara anjal permintaannya. Namun ia boleh menyukarkan negara dan rakyat juga. Contohnya nilai hutang negara meningkat jika negara banyak mempunyai hutang asing. Pengguna juga terjejas apabila barang penggunaan banyak komponen import.

    ReplyDelete
  3. salam, apa masalah yg dihadapi negara sekiranya berlalu penurunan terhadap tingkat pendapatan negara guna tenaga penuh?

    ReplyDelete
  4. Cool and that i have a nifty provide: Where To Remodel House complete house renovation cost

    ReplyDelete