Saturday, December 31, 2016

Bab 1 PENGENALAN KEPADA MAKROEKONOMI



BAB 1 : PENGENALAN MAKROEKONOMI

 
1.Huraikan pemboleh ubah-pemboleh ubah makroekonomi.
 
Pembolehubah-pembolehubah makroekonomi ialah:
 
•Pendapatan negara/ keluaran negara
Pendapatan negara/keluaran negara ialah jumlah nilai barangan akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh sesebuah negara dalam satu tahun. Ianya merupakan alat bagi mengukur prestasi kegiatan ekonomi negara.
 
•Guna tenaga dan pengangguran
Guna tenaga ialah jumlah tenaga buruh yang sedang mempunyai pekerjaan. Pengangguran ialah jumlah tenaga buruh yang sanggup bekerja tetapi tidak mendapat pekerjaan. Guna tenaga dan pengangguran merupakan alat untuk mengukur kadar pengangguran di dalam ekonomi.

•Pertumbuhan ekonomi
Pertumbuhan ekonomi ialah pembangunan ekonomi berbentuk fizikal seperti pertambahan keluaran barang dan perkhidmatan, pertambahan infrastruktur dan peningkatan pembangunan ekonomi lain. Ianya merupakan alat untuk mengukur prestasi pembangunan negara.

•Inflasi
Inflasi ialah kenaikan tingkat harga umum yang berlaku secara berterusan. Kadar inflasi menentukan ukuran kestabilan tingkat harga umum.

•Imbangan pembayaran
Imbangan pembayaran ialah rekod keseluruhan urus niaga kewangan antara negara bagi sesuatu tempoh tertentu. Ianya merupakan alat untuk mengukur keadaan perdagangan luar negara.

2. Huraikan empat sebab mengapa dasar makroekonomi dilaksanakan.
 
Empat sebab dasar makroekonomi dilaksanakan:

•Guna tenaga penuh
Sesebuah negara ingin mencapai tingkat guna tenaga penuh, iaitu kesemua faktor digunakan atau sekurang-kurangnya kadar pengang­guran berada pada paras yang rendah.
•Kestabilan tingkat harga umum
Tingkat harga umum perlu berada pada paras stabil dan kadar inflasi kekal rendah dan terkawal.
•Peningkatan pertumbuhan ekonomi 
Pertumbuhan ekonomi perlu mencapai kadar yang memuaskan dari tahun ke tahun dengan mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang positif.
•Memperbaiki imbangan pembayaran Imbangan pembayaran perlu diperbaiki supaya mencapai. imbangan pembayaran lebihan atau mencapai imbangan pembayaran yang lebih baik.

3. Dengan memberikan contoh, terangkan perbezaan maksud guna tenaga, jumlah penganggur, dan kadar pengangguran.

•Guna tenaga ialah jumlah tenaga buruh yang sedang mempunyai pekerjaan. Contohnya, jumlah tenaga buruh ialah 1.2 juta orang, maka jika hanya 1 juta orang mendapat kerja, ini bermakna guna tenaga ialah berjumlah 1 juta orang.
•Jumlah penganggur ialah jumlah tenaga buruh yang tidak mendapat pekerjaan. Contohnya, jumlah tenaga buruh ialah 1.2 juta orang, maka jika hanya 1 juta orang mendapat pekerjaan, ini bermakna jumlah Faenganggur adalah berjumlah 02 juta orang.
•Kadar pengangguran ialah kadar peratus jumlah tenaga buruh yang tidak mendapat pekerjaan berbanding jumlah tenaga buruh. Contohnya, jika jumlah tenaga buruh ialah 1.2 juta orang dan jumlah penganggur ialah 0.2 juta orang, ini bermakna kadar pengangguran ialah 16.7%.

4. Apakah yang dimaksudkan dengan inflasi? Terangkan tiga kesan inflasi terhadap ekonomi.

•Inflasi ialah kenaikan tingkat harga umum bagi barang dan perkhidmatan yang berlaku secara menyeluruh dan berterusan.
•Tiga kesan inflasi terhadap ekonomi ialah:
- penurunan kuasa beli wang
- penurunan taraf hidup masyarakat
- penurunan pendapatan benar individu

5. Dengan memberikan contoh, terangkan perbezaan maksud dasar fiskal, dasar kewangan, dan dasar sebelah penawaran.

•Dasar fiskal bermaksud dasar mengubah perbelanjaan kerajaan dan kadar cukai untuk mencapai tingkat guna tenaga penuh tanpa inflasi. Sebagai contoh, dasar fiskal boleh diguna untuk mengatasi pengangguran dengan menambah perbelanjaan kerajaan dan mengurangkan kadar cukai.

•Dasar kewangan bermaksud dasar kawalan penawaran wang dan kadar bunga untuk mencapai tingkat guna tenaga tanpa inflasi. Sebagai contoh, dasar kewangan boleh diguna untuk mengatasi pengangguran dengan mengurangkan kadar bunga dan menambah penawaran wang.

•Dasar sebelah penawaran bermaksud dasar meningkatkan keupayaan pengeluaran dalam ekonomi bagi meningkatkan penawaran agregat dan mencapai pertumbuhan ekonomi tanpa inflasi. Sebagai contoh, pertumbuhan ekonomi dapat ditingkatkan dengan menggalakkan lebih ramai rakyat terlibat dalam aktiviti pengeluaran tertentu.

6. Pertumbuhan ekonomi yang tinggi akan meningkatkan tingkat kebajikan rakyat. Adakah anda setuju? Terangkan

•Tidak setuju pertumbuhan yang tinggi akan turut meningkatkan taraf kebajikan. Ini kerana peningkatan taraf kebajikan bergantung kepada faktor-faktor berikut:
 
•Bergantung kepada pertumbuhan penduduk
•Kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi daripada kadar pertumbuhan penduduk akan meningkatkan taraf kebajikan penduduk
•Kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih rendah daripada kadar pertumbuhan pen­duduk akan menurunkan taraf kebajikan penduduk

*Beri Formula mengukur tingkat kebajikan penduduk-penduduk (pendapatan benar perkapita)



No comments:

Post a Comment